Saturday, September 4, 2010

MISI: MENCARI MALAM LAILATUL QADAR


Bismillahirrahmanirrahim..

Moga sahabat semua sentiasa dalam rahmat lembayung kasih Allah dan makin bersemangat di bulan yang penuh barakah ini.

Kini kita sudah memasuki fasa 10 malam terakhir Ramadhan. 10 malam yang di dalamnya Allah janjikan satu malam yang lebih berharga dari beribu bintang. Satu malam yang padanya terbuka seluruh pintu bagi segala hajat dan rintihan buat setiap hamba.

Barang siapa bertemu malam berkah itu, maka setiap butir pengharapan dan permohonan, cepat atau lambat akan diperkenan oleh Allah swt. Alangkah indah dan bertuahnya kita jika bertemu malam itu.

Telah diperincikan tentang waktu turunnya malam lailatulqadar iaitu pada 10 malam terakhir yang bertarikh ganjil, serta tanda-tanda turunnya malam tersebut. Kita umat manusia tidak akan tahu bila waktu yang pasti turunnya malam itu, maka tuntutan berjihad memburu malam lailatulqadar ini wujud pada hamba yang tulus mendambakannya.

Fenomena kini, 'mencari lailatulqadar' seolah bertukar menjadi 'mencari lailatuKainLangsir, lailatulkuehRaya wa lailatulBajuRaya'..

Serba sibuk dengan segala macam persiapan. Menjadi kesedihan jika kurang atau tidak hebat persiapan hari raya. Seolah nak beraya setahun. Padahal puasa sebulan saja.

Wajib khatam buat kueh raya banding nak khatam Quran. Wajib ada baju raya, kalau tidak, raya jadi hambar, tak seronok dan sebagainya.

Saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa tidak perlu dan tidak boleh membuat sebarang persiapan raya, cuma kena berpada dan cukuplah dengan kesederhanaan kerana ynag sederhana itulah yang lebih cantik dipandang mata.

Moga dengan sisa Ramadhan yang berbaki ini, kita dapat menggembleng tenaga dan semangat untuk terus menjalankan misi pencarian malam yang penuh barakah iaitu LailatulQadar, saya doakan moga kita beroleh dan bertemu dengan malam yang menjadi dambaan.

No comments:

Post a Comment

♥Komen Disini♥