Sunday, August 1, 2010

BENCI

Segala sesuatu ada buruk dan baiknya. Sekiranya kita melihat alam atau manusia dengan mata kebencian, tidak akan terdapat dalam alam barang yang tidak tercela.

Orang yang masuk ke sebuah rumah yang indah, keadaan rumah itu akan didapatinya menurut ukuran hatinya seketika dia masuk. Jika dia masuk dengan rasa kecintaan, elok dipandang matanya apa yang tersusun teratur dalam rumah itu. Kalau ada terdapat cela satu dua, dilipurnya atau dimaafkannya. Tetapi kalau masuk dengan kebencian, tidak kelihatan keindahan susunan dan aturan, tidak kelihatan olehnya seperti orang yang cinta tadi. Mataya menjalar ke dinding, melihat kalau di sana ada jaring lawah, menjalar ke dapur, kalau-kalau piringnya ada yang tak basuh. Bila dia keluar, aib itulah yang tinggal dalam hati dan matanya.

Berapa orang mendengar pidato. Pidato yang didengarnya itu akan berkesan ke dalam dirinya menurut ukuran penghargaannya. Orang yang datang hendak mengutip dan mencari kebaikkan dari pidato itu, akan pulang membawa hasil yang menyenangkan. Tetapi yang datang mencari-cari kalau ada pidato itu yang salah membenci yang berpidato itu di luaran. Membaca tulisan walaupun bagaimana keras dan panas isinya, tidaklah menyakitkan hati kalau cinta telah ada kepada penulisnya. Tetapi meskipun tidak keras, biasa saja, kalau lebih dahulu telah ada perasaan hasad dengki, bukan main besar kesannya kepada hati si pembenci dan pendengki itu. Dia merasa saja bahawa dia disindir!

Demikianlah perumpamaan pendapat manusia di dalam gelanggang hidup. Bentuknya tercipta menuntut warna penghargaan si pemiliknya. Berbagailah yang timbul ketika memberi keputusan. Ada yang mengatakan baik, sebab sayang, ada yang mengatakan buruk, sebab benci. Berbagai ragam keputusan menurut pengalaman, ilmu dan penyelidikan.

Di sini dapatlah kita melihat, bahawa bahagia dan celaka itu hanya berpusat kepada sanubari orang, bukan pada zat barang yang dilihat.

Bagi kebanyakan orang, masuk penjara menjadi kecelakaan dan kehinaan, bagi setengahnya pula, menjadi kemuliaan dan kebahagiaan.

Kata Ibnu Taimiyah:

"Bahawasanya di dunia ini ada suatu syurga. Barangsiapa yang belum pernah menempuhnya, tidaklah dia akan menempuh syurga yang di akhirat".
Katanya pula:

"Apakah yang akan dilakukan oleh musuh-musuhku kepadaku? Syurga dan jannahku ada dalam dadaku. Ke manapun, aku pergi, dia ikut dengan daku. Jika engkau dimasukkan orang ke penjara, adalah itu khalwatku. Kalau aku diusir dari negeriku, adalah ganti aku bertemasya.
Jikalau aku keluarkan emas sepenuh benteng tempat aku dipenjarakan itu, akan jadi derma, belum juga dapat aku hargai kesyukuranku kepada Tuhan, lantaran nikmatNya yang begini.
Aku bukan terpenjara, sebab orang yang terpenjara, ialah yang dipenjarakan hatinya ditengah perjalanan mencari Tuhannya. Aku bukan orang yang tertawan ialah yang ditawan kerana hawa nafsunya.
Orang begini sukar ditimpa celaka!

Bertemulah dalam alam orang yang bersyukur kepada Allah atas nikmatNya sedang di lain pihak menyesal kepada Allah, kerana merasa nikmat itu belum cukup. Maka ramailah orang yang merasai sangat bahagianya, padahal dia dalam penjara, atau dalam rumah sakit. Banyak orang yang merasai celaka, padahal dia dalam sebuah gedung yang indah.

Bodohlah orang yang terbentang di hadapannya barang yang baik dan yang buruk, lalu dipilihnya yang buruk, kemudian dia meratap sebab telah memilih yang buruk, kemudian dia meratap sebab telah memilih yang buruk. Tidak ada yang lebih bodoh daripada perasaan benci itu. Padahal sifat alam kalau hendak dikaji selidik, tidak ada yang sempurna menurut khayalan kita. Lantaran kekecewaannya, kebencian tumbuh, hati patah, lupa bahawa yang cukup dan sempurna hanya Allah. Bukan orang lain yang sakit lantaran itu, melainkan dirinya sendiri, namun alam akan tetap keadaannya demikian.

Sebab itu hapuskanlah sifat benci, gantilah dengan sifat cinta. Sehari pergantian itu, warna alam berubah dengan sendirinya, pada pandangan kita.

Sekarang tahulah kita apa takwilnya dendang ibu seketika menyanyikan anaknya semasa dalam ayunan. Katanya:

"Anak kandung jangan menangis, orang penangis lekas rabun, orang yang kekayatan mati jatuh, orang pemarah tanggal iman, perhiba hati lekas tua".

No comments:

Post a Comment

♥Komen Disini♥