Saturday, June 19, 2010

Warkah Untuk Tuhan


Ya ALLAH..

Terima kasih kerana masih mengizinkan aku bernafas di atas muka bumi yang Engkau ciptakan sekadar tempat persinggahan, sebelum aku kembali menemui Engkau untuk diperhitungkan.. Ampunkanlah, kerana aku masih seorang hamba yang tidak mengerti apa itu syukur.. Susah amat Tuhan, menghadap segala pahit kenyataan sedang aku adalah makhluk yang Engkau ciptakan dengan perasaan.. Terasa jauh benar dari rahmat dan kasih-Mu Tuhan.. Lemah juga jari-jemari untuk terus melakar kehidupan..

Benar payah Tuhan, untuk menjawab pertanyaan siapa, mengapa, apa, kenapa, bila, di mana, bagaimana, yang menerjah gegendang telinga tanpa mengenal makna simpati.. Sakitnya Tuhan untuk aku mengiyakan yang tidak apalagi menidakkan yang iya.. Oh Tuhan, apalah kesudahan untuk segala yang aku hadapi ini.. Berselindung di sebalik awan hitam sehingga aku terpenjara dalam diam.. Terdera oleh kegelapan.. Serasa suluh cahaya Engkau juga telah hilang, sirna ditelan gelita semalam..

Sukarnya Tuhan untuk aku menyembunyikan kepedihan.. Menahan titisan demi titisan.. Senyum juga tawa dalam kesugulan.. Terzahir juga kekalahan walau itu bukanlah yang aku mahukan.. Bukanlah juga namanya permintaan.. Jatuh di atas helai-helai kosong, satu-satunya yang tidak akan aku terlupakan.. Tidaklah bernama manusia andai tiada rasa bila ditimpa ujian.. Makanya, di situlah aku lelah untuk memenuhkan ruangan..Menagapa Tuhan bila aku berbuat sedikit kebaikan penuh ikhlas disalah ertikan..sedangkan aku ingin melihat orang bahagia dan aku turut merasa kebahagiaan itu..

Tuhan, kalau mimpi semalam hanyalah permainan syaitan dan bukan satu petunjuk atau panduan, berikanlah aku kekuatan untuk terus bertahan.. Tidak berupaya lagi aku untuk terus berbicara dengan bayang-bayang yang saban hari aku terlalu asyik mengejarnya.. Tidak termampu juga aku berhadapan dengan kekacauan yang semakin membimbangkan, menyulitkan, dan meresahkan setipis-tipis iman.. Oh Tuhan, berikanlah jawapan untuk setiap persoalan yang berlegar-legar di benak ini, bagai tiada titik nokhtahnya.. Seperti tidak mahu ia berakhir..

Andai ini suatu ketentuan yang telah Engkau tuliskan.. Kanvas putih yang telah salah diwarnakan.. Kurniakanlah aku ketabahan yang berpanjangan, selama mana Engkau mahu meminjamkan nyawa ini kepada aku.. Ingatlah aku selalu Tuhan, meski aku sedikit lalai dan alpa akan Engkau.. Aku mohon kegagahan untuk berlawan, keberanian untuk meneruskan pengembaraan dan penawar untuk kesakitan yang tak terluahkan..

Ampunkanlah aku Tuhan.. Bimbing aku ke jalan keredhaan..
Engkaulah sandaran, Engkaulah harapan..

Dengan kerendahan,
Hamba-Mu

1 comment:

  1. sesungguhnya petunjuk Allah itu adalah yg terbaik buat hamba2Nya..redha n sabar kawan..

    ReplyDelete

♥Komen Disini♥