
Dari ufuk timur hingga ke ujung barat..ku menjejaki namaMU..Ya Allah..
Lepas subuh tadi, sempat kubelek kembali majalah HIDAYAH dari Indonesia yang telah dibaca minggu lepas. “Penyakit para daei”, itulah tajuk yang sangat menyentuh hatiku.
Antaranya, penulis mengingatkan betapa para pendakwah kekadang terlalu sibuk mengajar hingga tidak sempat belajar. Terlalu ghairah menyampaikan hingga kurang menjadi “pendengar”. Terlalu acap ke luar diri, sudah jarang kembali ke dalam diri.
Aku terkesima. Aku seorang pendidik dan tugas yang telah diamanah ini sama seperti seorang pendakwah. Menyampaikan ilmu kepada anak didikku. Mulia tugas ini. Dan hari ini aku sepatutnya berada di satu tempat untuk berdepan dengan lensa kamera. Memperagakan tudung dan busana muslimah. Hati ini kacau sebenarnya. Antara pergi atau tidak. Pergi bermakna aku akan memulakan tugas lain dan akan mengundang fitnah ke atas diriku. Ya Allah..Kau menguji Aku sekali lagi. Semalaman aku berbicara denganMu ya Allah..memohon petunjuk dariMu. Alhamdulillah aku mendapat jawapannya.
Kuteruskan lagi membaca majalah Hidayah. Tersentuh hati..dan ada kekuatan yang singgah dihati ini untuk aku membatalkan hasrat ku meneruskan niatku ke tempat itu. Aku bukan bahan untuk dijaja dan dijajah. Dan aku bukan 'selebriti' tetapi 'murabbi'
Allah melindungi aku. Dan rupanya tiada yang memberi kekuatan jiwa kalau bukan Dia Maha Pencipta yang kaya dengan ar-Rahman dan ar-RahimNya. Sekuat manapun kasih sayang manusia tapi tidak kasih sayangMu Ya Allah yang meliputi seluruh alam. Begitu pengasih dan penyayang Engkau ya Allah. Aku menangis sepuas2nya..membiarkan hati ini menangis.
Sesungguhnya..Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.
Aku percaya dan yakin bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan sikap manusia.
Aku belajar sesuatu daripada ujian yang Allah berikan kepadaku ini. Erti tentang kesabaran, kekuatan, mengenal diri sendiri dan mengenal diri orang lain. Manusia cepat melatah tapi aku akur dan terima bahawa itu mungkin kelemahan yang ada pada diri setiap orang. Dan aku sendiri juga banyak kekurangan diri. Tapi aku bersyukur kerana jiwa ini masih kuat dan tenang kerana Dia sentiasa bersamaku. Bersama dalam segenap diriku.
Dan aku juga belajar untuk jauhkan rasa kebencian agar kita menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajar menyayangi, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan.
Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah yang mana manusia, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Semoga aku tabah dengan semua ini. Dan terus mendidik diri sendiri dan anak didikku. Ilmu Yang kusampaikan itulah yang akan kutinggalkan dan tidak terputus walaupun jasad ku ditelan bumi kelak.
Allah kan Maha Penyayang..hmm..semoga sentiasa dalam PeliharaanNya..amin
ReplyDeleteIndahnya hidup dengan indahnya bersama orang seperti anda..Teruskan Perjuangan
ReplyDelete