
Minggu lalu adalah minggu yang penuh tarbiah. Aku “dipaksa” mendengar pelbagai rintihan, keluhan malah kemarahan.
Seperti kalian, aku juga manusia… yang sentiasa diuji. Bila badai melanda, kita kukuhkan kemudi… dan mungkin terpaksa melabuh sauh kehidupan seketika. Bertenang dan muhasabah tanpa berkata-kata, tanpa tindak dan gerak… cuma fikir dan berdoa.
Dari insan kita tidak mampu mengharapkan apa-apa kecuali dua… pertama, nasihat. Kedua, doa. Itulah pesan orang yang belajar daripada pengalaman setelah mengalami pelbagai karenah insan. Lalu di saat-saat cemas itu, lidah menjadi kelu. Mulut menjadi bisu. Biarlah cuma rasa dan doa berbicara… kita lepaskan fikir yang berselirat di dada hati yang bermunajat. Bukan dengan doa, pinta itu dan ini… cuma merintih. Mengaku kita lemah. Mengaku kita hina… di hadapan Allah.
Lalu kita katakan, “Ya Allah aku cintakan MU… walaupun cintaku sering terganggu!”
Dan kekadang dalam lena aku sedang merawat luka dan dukaku sendiri. Namun diriMu aku tidak pernah lupa. Amanah ini aku teruskan juga… Justeru subuh selepas tahajjudku padaMua yang mulia ini kupesankan… JADILAH KEKASIH YANG MENDENGAR!
Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya.
Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya. Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi: “Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar. Mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum. Dengan mendengar ertinya kita memberi telinga, mata dan hati.
Orang yang mendengar sebenarnya adalah orang yang “memberi”… Bukankah cinta itu bererti memberi? Memberi kasih-sayang, perhatian dan perlindungan. Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.
Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain. Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai: “Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”
Ya Allah...sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang maha Mendengar keluhan akan rintihan hamba2Mu..Maha Pengasih dan Penyayang Engkau Tuhan sekalian alam.
No comments:
Post a Comment
♥Komen Disini♥